Kekurangan kakitangan berbakat jadi masalah
KUALA LUMPUR 7 Jan. – Industri kewangan Islam kini berdepan dengan krisis kekurangan kakitangan berbakat dan berpengetahuan, kata Ketua Pegawai Akademi dan Dekan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi.
Beliau yang juga Profesor Ekonomi Islam dengan pusat berkenaan menambah, kebanyakan yang terlibat dalam industri itu hanya mempunyai latar belakang kewangan konvensional.
Syed Othman berkata, walaupun bilangan pekerja dalam industri itu mencukupi tetapi hanya segelintir yang berpengetahuan tentang metodologi dalam tadbir urus kewangan dan ekonomi Islam.
‘‘Bagi saya, mereka tidak memahami apa yang diperlukan dalam perbankan atau kewangan Islam terutama dalam aspek Syariah,” katanya pada sidang akhbar tentang krisis kewangan dan impak ke atas kewangan Islam, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pusat Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA), Universiti Reading, United Kingdom, Prof. John Board.
Ditanya sejauh mana kewangan Islam mampu menjadi penyelesai krisis semasa kewangan, Syed Othman berkata, sistem berkenaan dilihat sebagai paling berkesan dan relevan sepanjang masa.
‘‘Bagaimanapun, adakah akan wujud kualiti dan tanggungjawab pelaksanaannya jika pihak yang terlibat tidak mempunyai ilmu ekonomi dan Islam dalam urus tadbir?” soal beliau.
Berikutan keadaan itu, kata Syed Othman, terdapat permintaan tinggi terhadap program pendidikan berkaitan kewangan Islam yang dapat meningkat tahap pemahaman dan penghargaan terhadap prinsip kewangan.
‘‘Ini kerana, misalnya, apabila pelanggan berkunjung ke bank dan bertanya tentang produk berasaskan Islam, mereka (pekerja) gagal menjelaskan dan menggunakan istilah dengan salah sehingga mengakibatkan kekeliruan kepada pengguna,” kata beliau sambil menambah Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah serius untuk terus mendidik pengguna.
Sementara itu, Board berkata, industri kewangan Islam sebelum ini dilihat dalam perspektif yang luas dan secara lazimnya, hanya memerlukan kriteria umum bagi mereka yang ingin mencebur dalam bidang itu.
No comments:
Post a Comment