Karya : Abdullah Nasih 'Ulwan
Antara beberapa hak penting yang seharusnya diambil berat oleh para pendidik dan yang seharusnya sentiasa diperingatkan ialah hak guru, iaitu mendidik anak-anak menghormati guru dan melaksanakan tanggungjawabnya terhadap guru. Ini bertujuan supaya anak-anak akan membesar atas adab sopan yang tinggi terhadap orang yang memberikan tunjuk ajar dan panduan yang baik kepadanya, terutamanya bagi guru-guru yang bersifat mulia, bertaqwa dan berakhlak mulia.
Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan beberapa pesanan yang bernilai dan panduan-panduan yang berguna dalam menghormati dan memuliakan orang yang berilmu serta memuliakan para guru. Semua ini ialah supaya orang ramai mengetahui kemuliaan dan kelebihan mereka dan supaya orang yang pernah belajar dengan mereka akan berasa megah berguru dengannya dan seterusnya bersopan dengan mereka.
Daripada Ubadah ibn al-Samit bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak termasuk dalam golonganku sesiapa yang tidak memuliakan orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengetahui hak orang yang alim". {Hadith riwayat Ahmad dan al-Tabrani serta al-Hakim}
*************************
Daripada Abu Hurayrah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
" Pelajarilah ilmu dan pelajarilah ketenangan dan ketetapan ilmu itu, dan merendah dirilah kepada orang yang kamu menuntut daripadanya". {Hadith riwayat al-Tabrani dalam al-Awsat}
************************
Daripada Abu Umamah daripada Rasulullah SAW sabdanya:
" Tiga perkara yang tidak dipandang ringan kepadanya, kecuali oleh orang munafik iaitu: orang muda dalam Islam, orang berilmu dan ketua yang adil ". {Hadith riwayat al-Tabrani}
************************
Rasulullah SAW bersabda:
"Wahai Tuhanku, janganlah aku alami satu zaman di mana orang pandai tidak lagi diikuti dan orang berakhlak tidak lagi disegani, hati mereka hati 'ajam [bukan Arab] dan lidah mereka lidah Arab ". {Hadith riwayat al-Imran Ahmad ibn Sahl ibn Sa'ad al-Sa'idi}
***********************
Daripada Jabir RA bahawa Rasulullah SAW mengebumikan dua mayat di dalam satu kubur, kemudian bersabda :
" Siapakah antara keduanya yang banyak sekali menghafaz al-Quran?" Apabila diisyaratkan kepada salah seorang daripadanya, maka Rasulullah SAW mendahulukannya ke dalam liang lahad ". {Hadith riwayat al-Bukhari}
Kesimpulannya,
- Pelajar hendaklah merendah diri kepada gurunya. Janganlah cuba menyeleweng daripada pendapat dan tunjuk ajarnya, malah hendaklah bergaul dengan gurunya seperti seorang pesakit dengan doktor pakarnya.
- Pelajar hendaklah sentiasa berunding dengan guru dalam segala sesuatu yang ditujunya dan haruslah mendapat izinnya dalam apa saja yang hendak dilakukannya.
- Pelajar hendaklah memandang mulia kepada gurunya dan berasa bahawa gurunya adalah seorang yang sempurna. Ini disebabkan hanya dengan perasaan seumpama ini ia akan mendapat faedah daripada gurunya.
- Pelajar hendaklah menggunakan panggilan-panggilan seperti "tuan", "guru" ataupun "tuan guru" yang memberikan rasa mulia kepada orang yang mendengarnya.
- Pelajar hendaklah berdoa untuk gurunya sepanjang hayat dan memelihara keturunan, kaum keluarga dan sahabat handainya selepas kematian guru itu.
No comments:
Post a Comment